KUALA TERENGGANU – Pengusaha premis pajak gadai dan emas perlu mengambil ikhtibar penahanan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam urusniaga gelang emas digadai suspek kes mangsa bunuh peniaga sambal bilis garing di Kuantan, Pahang minggu lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd. Khairi Khairuddin berkata, perbuatan membeli dan melupuskan sebarang barangan curi merupakan perbuatan jenayah yang boleh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan.
“Pengusaha-pengusaha kedai pajak gadai (dan emas) harus berhati-hati sekiranya didatangi orang mencurigakan yang mahu menjual atau menggadai barangan kemas.
“Kita nasihatkan mereka supaya tidak membeli kerana memiliki barangan curi boleh dituduh mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara,” katanya ketika ditemui pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.
Mohd. Khairi berkata, pengusaha kedai pajak gadai dan emas terbabit sepatutnya melaporkan urus niaga barangan kemas meragukan tersebut kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.
Kosmo! semalam melaporkan seorang lelaki berusia 42 tahun telah ditahan di premis pajak gadai berkenaan di sini pada pukul 10.30 pagi, Sabtu lalu.
Siasatan awal percaya suspek kes bunuh terbabit yang berusia 53 tahun telah menggadai gelang emas Norshamira bernilai RM30,000 pada harga RM9,000 sahaja.
Terdahulu suspek berusia 53 tahun telah melarikan diri ke rumah anak saudaranya di Wakaf Tembusu, Kuala Nerus sebaik dipercayai membunuh Norshamira di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur, Kuantan pada Khamis lalu. – KOSMO! ONLINE