fbpx

‘Baru saya kenal siapa sahabat, siapa bukan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AFDLIN Shauki lega berhubung isu projek projek DBKL dan berharap pihak yang memulakan fitnah terhadapnya agar bertaubat memohon keampunan dari Tuhan.

KUALA LUMPUR – Penerbit dan pengarah Datuk Afdlin Shauki menzahirkan rasa syukur selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada elemen jenayah atas dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.

Menurut Afdlin, dakwaan tuduhan salah laku dalam perolehan projek di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengaitkan namanya sebelum ini dianggap sebagai fitnah yang bertujuan untuk menjatuhkan reputasi diri sebagai pelakon dan pengarah.

“Alhamdullillah, segala puji untuk Allah SWT yang telah mendedahkan kebenaran. Cakap banyak tak guna sebab kalau orang tak suka kita, dia akan terus panjangkan fitnah ini.

“Kepada yang memulakan fitnah ini, saya berdoa yang baik-baik untuk anda dan berharap Tuhan memaafkan kita semua.

“Saya doakan Allah lembutkan hati pemfitnah itu,” katanya.

Tambah Afdlin, tindakannya untuk tidak mengulas mengenai isu tersebut dan menyerahkan kuasa sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan adalah perkara yang tepat.

“Sebab itu saya duduk diam dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa agar tidak mengganggu siasatan.

“Saya tidak cepat melatah kerana yakin tidak melakukan apa-apa kesalahan. Ketika ini, baru saya kenal siapa sahabat dan siapa bukan,” ujarnya.

Dalam masa sama, dia berterima kasih kepada semua pihak yang sentiasa memberi sokongan kepadanya termasuk pihak berkuasa kerana menjalankan siasatan terperinci sehingga namanya tidak lagi terpalit dengan isu tersebut.

“Terima kasih kepada keluarga dan semua rakan yang memberi sokongan moral ketika dalam kesusahan.

“Penghargaan juga perlu diberikan kepada SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), DBKL dan semua badan yang terbabit dalam siasatan,” katanya lagi.

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki memberitahu tiada elemen jenayah didapati berlaku berhubung dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat DBKL yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.

Azam berkata, perkara itu adalah hasil semakan pihaknya terhadap dokumen yang dibekalkan oleh DBKL pada 7 Februari lalu berhubung pelaksanaan projek penerbitan kandungan dan siaran studio serta konti radio DBKL.

Pada 6 Februari lalu, SPRM dilaporkan sedang meneliti dokumen berkaitan dakwaan salah laku seorang ahli lembaga penasihat DBKL yang dikaitkan dengan pemberian projek bernilai RM4 juta.

Azam dilapor berkata, SPRM telah mendapat akses kepada dokumen yang diperoleh hasil siasatan dalaman dijalankan DBKL. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI