KUALA LUMPUR – Dituduh sengaja menenggelamkan penyanyi Liza Aziz di pentas akhir Gegar Vaganza musim 11 (GV11), artis Indonesia Krisdayanti menyifatkan situasi sebenar tidak seperti didakwa sesetengah netizen.
Katanya yang mesra disapa KD, tidak timbul isu ‘membayangi’ persembahan Liza ketika mereka berduet membawakan lagu Cinta, sebaliknya dia hanya menuruti aturan asal lagu ciptaan Melly Goeslaw itu.
“Duet pada malam tersebut mengikut paduan suara asal antara saya dengan Melly dan bahagian saya memang lebih banyak.
“Mungkin itu yang buat penonton tidak puas dan menyangka saya ‘over shadow’ Liza. Tidak, bukan itu yang berlaku,” katanya ketika ditemui di sidang media Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti, Hotel St Giles Boulevard di sini, semalam.
Mengulas pula mengenai persembahan vokalnya yang didakwa dilontarkan secara berlebihan, KD berkata, perkara itu berlaku disebabkan wujud salah faham dari aspek teknikal.
“Sebenarnya berlaku sesuatu yang unik, saya meminta Tok Ram (Datuk Ramli MS) menurunkan satu key tetapi beliau menaikkan pula nada itu disebabkan kurang jelas.
“Tetapi sebelum ini pun, setiap kali saya nyanyikan lagu tersebut bersama Melly, memang kami meminta key diturunkan. Pada malam itu saya terpaksa mengikut key yang sudah ditukar.
“Liza juga yang biasa menyanyikan lagu nada tinggi nyata tidak sulit membawakan Cinta,” ujarnya.
Tidak berniat mencetuskan perdebatan itu, KD bagaimanapun dengan rendah diri meminta maaf kepada penonton yang berkecil hati dengan insiden tersebut.
“Janganlah marah saya… perkara yang berlaku pun disebabkan salah faham. Tiada niat apa pun. Saya sayang semua,” katanya.
Terdahulu, malam kemuncak GV11 yang menyaksikan gandingan duetnya dengan penyanyi dihormati itu, beliau didakwa cuba menonjolkan diri berbanding memberi ruang kepada Liza sebagai finalis.
Mengenai konsert di Axiata Arena Bukit Jalil pada 22 Jun depan, penghibur berusia 50 tahun itu akan membawakan hampir 30 lagu berkisar cinta dan kehidupan sepanjang lebih tiga dekad dalam industri seni.
“Saya akui bertuah kerana terus disayangi dan diterima baik sekali gus berharap terus mendapat sokongan anda semua untuk hadir pada malam Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti nanti.
“Saya juga berharap bukan saja peminat Malaysia hadir, malah penggemar Indonesia yang berada di negara ini turut sama-sama memberi sokongan,” kongsinya selepas lapan tahun tidak beraksi di pentas mega di sini. – KOSMO! ONLINE