fbpx

Anwar ke Bahrain, perkukuh ekonomi, perdagangan dua negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

PUTRAJAYA- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan rasmi ke Bahrain bermula hari ini hingga 20 Februari atas jemputan Putera Mahkota dan Perdana Menteri Bahrain, Putera Mahkota Salman Hamad Al Khalifa.

Menurut Kementerian Luar Negeri, lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertama Perdana Menteri ke negara itu sekali gus mempamerkan komitmen Malaysia mengukuhkan lagi hubungan dua hala.

Semasa lawatan ini, katanya, Perdana Menteri akan disambut dalam majlis sambutan rasmi dan diikuti dengan kunjungan menghadap ke atas Putera Mahkota selain kedua-dua pemimpin akan membincangkan perkembangan dan kemajuan hubungan Malaysia-Bahrain.

“Ini meliputi tumpuan kepada pengukuhan dan peningkatan kerjasama dalam sektor utama yang berkepentingan bersama, termasuk perdagangan dan pelaburan, pertahanan serta keterjaminan makanan.

“Ia termasuk sektor perbankan Islam, industri halal, kesalinghubungan dan pelancongan, selain isu-isu serantau dan global yang berkepentingan turut akan dibincangkan,” katanya.

Wisma Putra memaklumkan, Perdana Menteri turut dijadual untuk mengadakan kunjungan menghadap ke atas Raja Bahrain, Raja Hamad Isa Al Khalifa untuk mengukuhkan lagi hubungan baik yang terjalin sejak sekian lama antara kedua-dua negara.

Selain itu, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan dan Ekonomi Negara Bahrain, Shaikh Salman Khalifa Al Khalifa untuk meneroka peluang bagi mengukuhkan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara.

“Di sela-sela lawatan ini, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan dalam sesi utama Intra-Islamic Dialogue Conference (IIDC) yang dianjurkan di bawah naungan Raja Bahrain dan Sheikh Al-Azhar Al-Sharif merangkap Pengerusi Majlis Hukama Muslimin.

“Ucapan tersebut akan menekankan kepentingan perpaduan umat Islam dalam menghadapi cabaran global semasa,” katanya.

Selaku Pengerusi ASEAN 2025, Anwar juga akan memanfaatkan lawatan ini untuk memperkukuhkan kerjasama serantau, terutamanya menjelang Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 yang dijadualkan di Kuala Lumpur.

Pada tahun 2024, Bahrain merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia di rantau Asia Barat dengan jumlah dagangan bernilai RM1.19 bilion (AS$0.26 bilion).

Malaysia ialah rakan dagang ketiga terbesar Bahrain di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN dan ke-18 terbesar di peringkat global pada tahun 2023. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI