fbpx

Anwar bahas isu ASEAN bersama Sultan Brunei, Thaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar ketika mengadakan pertemuan bersama Sultan Hassanal Bolkiah dan Thaksin di Istana Nurul Iman, hari ini. - Foto Facebook Anwar.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, Brunei, hari ini.

Turut menyertai sesi itu ialah bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang juga Ketua Kumpulan Penasihat Tidak Rasmi kepada Pengerusi ASEAN 2025.

Menurut Anwar, perbincangan mereka tertumpu kepada kepengerusian ASEAN 2025, dengan menekankan kepentingan mendapatkan panduan daripada Sultan Brunei sebagai pemimpin paling berpengalaman dalam kalangan pemimpin ASEAN.

Mengenai krisis di Myanmar, Anwar menyatakan bahawa meskipun negara itu masih terikat dengan Konsensus Lima Perkara, usaha berterusan perlu dilakukan untuk melibatkan semua pihak berkepentingan.

“Kami juga menyatakan kebimbangan terhadap peningkatan masalah yang berpunca daripada ekonomi atau pasaran gelap, didominasi oleh penyeludupan dadah, pemerdagangan manusia, serta penipuan dalam talian atau scam yang berleluasa.

“Kami turut membincangkan solusi terbaik untuk mencapai trajektori positif dalam usaha menyelesaikan krisis di Myanmar serta memastikan semua Menteri Luar negara ASEAN sentiasa dimaklumkan mengenai perkembangan ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Turut disentuh dalam pertemuan itu adalah keperluan mempercepatkan pelaksanaan Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat seperti yang dicadangkan dalam Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN sebelum ini.

Dalam isu pertikaian di Laut China Selatan, Anwar berkata rundingan mengenai Kod Tatalaku (CoC) perlu disegerakan bagi mencapai kestabilan serantau.

“Fokus utama juga diberikan kepada cara terbaik untuk memperkukuh perdagangan intra-ASEAN dan mempertingkatkan kerjasama ekonomi, termasuk keperluan untuk rangka kerja peraturan yang lebih mesra perniagaan dan berkesan.

“Pendekatan strategik dalam hal ini adalah untuk menggalakkan aliran modal yang lebih rancak serta merangsang pertumbuhan serantau yang lebih kukuh demi kemakmuran bersama,” ujarnya.

Beliau turut membincangkan kepentingan membangunkan infrastruktur Blockchain serta kebolehcapaian digital sebagai prasyarat utama bagi pembangunan ekonomi digital yang progresif di rantau ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI