SEOUL – Aktres Korea Selatan yang juga bekas pemenang pertandingan ratu cantik Miss Korea 2006, Lee Ha-nee didenda sebanyak 6 bilion won (RM18 juta) sebagai cukai tambahan.
Ia merupakan penalti tertinggi yang pernah direkodkan dalam industri hiburan negara itu, lapor laman berita VNExpress semalam.
Menurut laman berita Chosun Biz, Perkhidmatan Cukai Serantau Seoul melancarkan siasatan ke atas Ha-nee dan syarikatnya, Hope Project pada September tahun lalu.
Siasatan mendapati, dia mempunyai hutang cukai yang belum dibayar.
Ia mengatasi denda yang pernah dikenakan ke atas aktres, Song Hye-kyo iaitu 3.5 bilion won (RM11 juta) dan Kwon Sang-woo sebanyak RM1 bilion won (RM3 juta).
Pejabat Cukai Gangnam dilaporkan mengesan penyelewengan cukai antara bekas ratu cantik itu dan bekas agensinya, People Entertainment semasa siasatan dilakukan pada 2022.
Ha-nee, 41, berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengarah dalaman syarikat itu sehingga Januari 2023.
Suaminya kemudian mengambil alih jawatan CEO, manakala aktres itu kekal sebagai pengarah dalaman. – AGENSI