fbpx

Air keruh, tinggi sukarkan operasi cari dua remaja dikhuatiri lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sayani bercakap kepada pemberita di Sungai Perak dekat Kampung Tepus, Parit hari ini.

PARIT – Air keruh dan paras air yang sedikit meningkat antara kesukaran dihadapi pasukan penyelamat dalam operasi mencari dua remaja yang dikhuatiri lemas di Sungai Perak dekat Kampung Tepus, di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon berkata, keadaan itu menyebabkan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) sukar membuat selaman bagi mengesan mangsa.

“Semalam hujan, jadi paras air meningkat sedikit dan keruh. Anggota PPDA membuat empat kali selaman di kawasan kedua-dua mangsa terjatuh, namun masih gagal menjumpai mereka.

“Operasi pencarian yang diteruskan hari ini dilakukan dalam jarak satu ke tiga kilometer menggunakan kaedah surface searching dengan dibantu dua anjing dari Unit Anjing Pengesan (K9) bersama penduduk kampung dan nelayan,” katanya ketika ditemui di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Tepus, di sini hari ini.

Menurut Sayani, beliau percaya kedua-dua mangsa kemungkinan tersangkut pada pasir berikutan terdapat kawasan perlombongan pasir berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, berdasarkan pemerhatian awal pasukan mencari dan menyelamat, kedua-dua mangsa berkemungkinan tidak jauh dihanyutkan arus sungai.

“Lebih kurang satu kilometer dari tempat terakhir mangsa dipercayai terjatuh, ada mesin penyedut pasir dan kita telah arahkan agar mereka hentikan operasi semalam.

“Pasukan mencari dan menyelamat akan menggunakan kaedah pusaran air di titik lokasi kejadian bagi mendapatkan petunjuk baharu mangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI