PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selamat menjalani rawatan konservatif bagi kesakitan ‘musculoskeletal’ (otot dan tulang).
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi Sultan Ibrahim, Seri Paduka Baginda dijangka berangkat pulang ke Malaysia pada 21 Februari ini.
“Kesakitan itu berlaku akibat latihan ketenteraan intensif serta gaya hidup aktif Seri Paduka Baginda yang gemar bersukan sewaktu muda terutama bermain polo.
“Sultan Ibrahim bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan penghargaan tulus ikhlas kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengadakan solat hajat dan tidak putus-putus menitipkan doa untuk kesihatan Seri Paduka Baginda,” kata kenyataan itu.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan Sultan Ibrahim berangkat ke luar negara untuk menjalani rawatan. Perkara itu telah disembah maklum kepada Majlis Raja-Raja dan Kerajaan Persekutuan.
Turut mengiringi Seri Paduka Baginda adalah Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj. – KOSMO! ONLINE