PETALING JAYA – Adik bongsu Allahyarham Aysar Zahran Saiful Alimin berhasrat untuk mengikuti jejak abangnya dalam bidang perakaunan.
Amyra Zahra Saiful Alimin, 13, berkata, kejayaan arwah abangnya dalam bidang perakaunan menjadi inspirasi untuk dirinya di masa hadapan.
Difahamkan, Amyra Zahra bakal memasuki Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang di Jelebu, Negeri Sembilan esok.
“Saya mula minat akauntan sebab tengok abang dan saya nekad untuk belajar bersungguh-sungguh dan berjaya seperti abang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Amyra Zahra berkata, kali terakhir pertemuannya bersama arwah adalah di mana dia berkongsi keputusan MRSM dengan abangnya itu.
Katanya, arwah abangnya itu juga sering membantunya melakukan ulang kaji ketika menduduki peperiksaan akhir tahun lalu.
“Pada hari sama sebelum kejadian, abang datang ke rumah dan berbual dengan saya mengenai MRSM. Dia tanya tentang persiapan dan sebagainya.
“Bila dapat tahu abang meninggal dunia, saya sangat sedih, namun akan jadikan perkara itu sebagai pemangkin untuk saya bila di MRSM nanti,” jelasnya.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan Allahyarham Aysar Zahran, 20, maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Alza yang memasuki laluan bertentangan dalam kejadian kira-kira 4.45 petang pada 2 Februari lalu.
Allahyarham merupakan pelajar cemerlang bidang perakaunan dan penerima biasiswa MyPAC-Maybank Islamic Berhad bagi program ACCA-FIA di TYMBA.
Antara pencapaian terbaiknya, Allahyarham berjaya meraih tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia bagi kertas Management Information 1 (MA1) dalam peperiksaan Asasi Akauan (FIA) pada Disember tahun lalu. – KOSMO! ONLINE