fbpx

ACLE: JDT cuma perlu elak kekalahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIDOGLIO (kiri) hadir bersama Matthew Davies pada sidang akhbar menjelang aksi terakhir ACLE di Stadium Sultan Ibrahim semalam. - RAJA JAAFAR ALI

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Hector Bidoglio tetap mahu memburu kemenangan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan Zon Timur Liga Juara-juara Asia Elit (ACLE) menentang Pohang Steelers di Stadium Sultan Ibrahim malam ini.

Menurut Bidoglio, kemenangan itu membolehkan skuad Harimau Selatan menduduki posisi yang lebih baik dalam pusingan 16 terbaik selepas ini.

Bagaimanapun, ketua jurulatih kelahiran Argentina itu menjangkakan satu pertembungan sengit memandangkan kelab Korea Selatan tersebut memerlukan kemenangan bagi meletakkan pasukan dalam lapan terbaik untuk mara ke pusingan seterusnya.

“Kita berada di kedudukan terbaik untuk mara ke pusingan 16 dan kemenangan ini amat penting untuk menduduki posisi lebih tinggi. Jadi kita perlu bekerja keras memastikan kemenangan.

“Pemain tidak boleh sambil lewa, sebaliknya mengekalkan intensiti permainan, bermain secara dinamik dan melakukan penghantaran bola dengan lebih pantas.

“Di Stadium Sultan Ibrahim, JDT sentiasa menjadi watak protagonis dan akan mengekalkan status itu pada perlawanan menentang Pohang Steelers,” katanya.

Untuk rekod, JDT menghuni kedudukan kelima dalam saingan peringkat kumpulan Zon Timur dengan 11 mata, manakala Pohang Steelers berada di posisi kelapan setelah mengutip sembilan mata.

Pengendali berusia 57 tahun itu lega apabila semua pemain berada di terbaik selain Juan Muniz dan Murilo Henrique kembali menyertai pasukan setelah menjalani penggantungan.

Katanya, pasukan turut diperkuatkan dengan penambahan seorang lagi muka baharu, Anselmo Moraes yang menyertai pasukan dua hari lalu, namun percaya pemain berusia 35 tahun itu memerlukan masa untuk mencipta keserasian.

Pemain kelahiran Brazil itu akan mengisi kekosongan Roque Mesa yang mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ketika menentang kelab Australia, Central Coast Mariners minggu lalu.

“Anselmo adalah seorang pemain yang berpengalaman dan bakal menjadi watak penting JDT. Kemasukannya akan memperkuatkan bahagian tengah Harimau Selatan mengharungi saingan ACLE.

“Pada awalnya, sasaran kita hanya layak ke pusingan 16 dan kita sudah hampir mengecapinya. Jadi, kita perlu menjadi lebih kuat untuk lihat sejauh mana kita mampu melangkah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI