SEBERANG PERAI – Seorang murid tahun satu mengalami kecederaan putus tangan kiri, manakala adiknya hilang kaki kanan selepas digilis lori tanah dalam kejadiandi Jalan Besar Sungai Bakap di sini hari ini.
Kejadian pada pukul 7.15 pagi itu berlaku ketika kedua-dua mangsa membonceng motosikal bersama nenek mereka dan dalam perjalanan ke sekolah.
Kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu lori itu mahu keluar dari susur kiri sebelum terlanggar motosikal yang berada di hadapan kenderaan berat tersebut.
Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Seberang Perai Selatan berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 7.40 pagi dan kemalangan melibatkan lori muatan tanah merah dan motosikal.
“Kedua-dua mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap dengan bantuan ambulans Kementerian Kesihatan,” katanya.
Terdahulu, beberapa video dan gambar kemalangan itu tular di media sosial. Orang ramai meluahkan rasa sedih dan bersimpati dengan nasib menimpa dua beradik tersebut. Setakat ini tiada kenyataan rasmi dikeluarkan polis berhubung kemalangan itu. – KOSMO! ONLINE