PASIR MAS – Seorang wanita warga emas dan rakan lelakinya direman empat hari bagi membantu siasatan kes curi wang RM2,500 di dalam beg tangan ketika satu majlis kenduri di Kampung Tasek Berangan di sini pada 1 Februari lalu.
Perintah reman yang bermula hari ini dikeluarkan oleh Majistret Mohd. Izdham Naim Che Ani bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu mencuri di dalam bangunan.
Terdahulu, wanita warga emas berusia 61 tahun yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau dan suspek lelaki berusia 62 tahun diiringi anggota polis tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Pasir Mas di sini kira-kira pukul 9.15 pagi dengan berpakaian baju lokap berwarna oren.
Kosmo! Online semalam melaporkan, selepas lebih dua minggu, seorang wanita warga emas yang dipercayai menyamar sebagai tetamu sebelum melarikan beg tangan berisi wang berjumlah RM2,500 pada majlis kesyukuran di sebuah rumah di Kampung Tasek Berangan di sini pada 1 Februari lalu akhirnya dicekup.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, suspek yang berusia 61 tahun ditahan kira-kira pukul 2.35 petang di depan sebuah masjid di Jalan Seri Cemerlang, Kota Bharu dekat sini semasa menaiki sebuah teksi dipandu rakannya berusia 62 tahun.
“Hasil pemeriksaan, warga emas itu mempunyai 10 rekod lampau berkait kes menceroboh rumah, mencuri di dalam rumah, sekatan buang daerah (PCO) yang dihadkan, meragut dan mencuri.
“Kesemua rekod lampau itu melibatkan kesalahan yang dilakukan di pelbagai lokasi di Kelantan dan Terengganu manakala PCO pula di Slim River, Perak,” katanya. – KOSMO! ONLINE