fbpx

[VIDEO] ‘Saya betul-betul menyesal, ketika buat saya tidak sedar sebab mabuk’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD ARIFF dihukum penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini selepas mengaku salah mencederakan seorang penganggur, minggu lalu.

JOHOR BAHRU – Perbuatan kejam seorang tukang besi menetak seorang penganggur sehingga menyebabkan mangsa cedera parah minggu lalu terbalas apabila dia dipenjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Thalha Bachok @ Embok Mok menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Muhammad Ariff Jilon Majaun, 45, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki itu didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah terhadap mangsa lelaki berusia 43 tahun dengan menggunakan sebilah pisau pemotong daging iaitu suatu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata salah.

Perbuatan itu didakwa dilakukan berhampiran Merlin Tower, Jalan Meldrum di sini, pada pukul 2.24 petang, 11 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu kepada mahkamah memberikan hukuman ringan kerana telah menyesali perbuatan yang dilakukannya itu.

“Saya betul-betul menyesal, ketika buat saya tidak sedar. Saya mabuk. Jadi, saya minta hukuman seringan-ringannya,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Mamu bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang mengambil kira kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh.

“Jika diteliti gambar kecederaan, mangsa mendapat lima jahitan pada kepalanya yang juga satu anggota badan yang sangat sensitif. Perbuatan ini menyebabkan mangsa juga trauma.

“Mohon hukuman penjara bagi memberi pengajaran kepada tertuduh supaya tidak mengulangi lagi kesalahan ini,” katanya.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dan sebat itu berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 11 Februari lalu.

Mengikut fakta kes, ketika kejadian berlaku pada pukul 2.24 petang, mangsa sedang minum di kawasan terbabit sebelum OKT datang melakukan perbuatan menendang motosikal orang awam dan mangsa menegur perbuatan OKT.

OKT berang dan berlaku pertengkaran mulut antara kedua-dua individu terbabit sebelum OKT menghilangkan diri dan tidak lama kemudian OKT datang ke arah mangsa dengan membawa sebilah pisau pemotong daging lalu menetak beberapa kali ke arah kepala mangsa.

Mangsa cuba mempertahankan diri sebelum rebah terbaring berlumuran darah dan mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk mendapatkan rawatan.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI