ISKANDAR PUTERI – Sembilan lelaki Myanmar yang mengambil upah memproses arak tiruan ditahan menerusi dua serbuan berasingan di Taman Industri Jaya dan Taman Tan Sri Yaacob, di sini pada 7 dan 9 Februari lalu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, kesemua mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 43 tahun.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mereka dibayar antara RM1,500 hingga RM1,800 oleh sindiket terlibat untuk menjalankan kegiatan itu.
“Modus operandi digunakan sindiket adalah dengan memproses arak tiruan sebelum dijual pada harga lebih rendah daripada pasaran, dengan sasaran pembeli terdiri daripada warga asing.
“Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak enam bulan lepas dan usaha mengesan dalang sedang giat dijalankan,”katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Tambah Kumarasan, antara yang dirampas dalam dua serbuan itu termasuklah 122 kotak mengandungi arak pelbagai jenama, 43 botol arak, sembilan unit tong berisi cecair dipercayai alkohol, 538 kotak berisi botol arak kosong, 37, kotak penutup botol arak serta sembilan mesin memproses alkohol.
“Kesemua suspek kini ditahan reman sehingga 23 Februari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen,”katanya.-KOSMO! ONLINE