KUALA LUMPUR – Terpalit dengan dakwaan tangkap khalwat beberapa hari menjelang Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39), penyanyi Nadeera menganggap perkara tersebut sebagai ujian yang perlu dihadapi sebagai finalis.
Kekal positif, Nadeera atau nama lengkapnya Farah Nadeera Zaini, 32, juga menafikan ada pihak yang cuba menjatuhkan reputasi baiknya terutamanya semasa dalam membuat persiapan AJL.
“Saya tak rasa perkara tersebut adalah cubaan menjatuhkan saya.
“Kalau ini ujian, saya terima. Andai orang cuba menjatuhkan, saya maafkan orang tersebut.
“Saya berharap orang itu bertaubat lebih-lebih lagi kita sudah dekat dengan bulan puasa,” katanya kepada Kosmo! Online semalam.
Dalam masa sama, penyanyi bertubuh genit itu enggan melayani kontroversi murahan tersebut kerana memberikan tumpuan 100 peratus buat persembahan Bukan Lagi Kita di pentas berprestij tersebut.
“Saya cakap dengan pengurus dan pihak pengurusan buat apa nak fikir kerana boleh merosakkan fikiran.
“Sebulan saya memang betul-betul fokus dengan apa yang mahu dibuat untuk AJL termasuk tidak tengok media sosial dan pasukan saya uruskan.
“Ketika dapat tahu, saya tidak fikir. Biarkan sahaja lagipun saya tidak tahu kenapa nama saya dikaitkan,” ujarnya lagi.
Selepas 10 tahun bergelut dalam industri, Nadeera akhirnya berjaya menjulang trofi Naib Juara AJL39 membawakan karya hasil ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh. – KOSMO! ONLINE