KLANG – Standard piawaian pemasangan kabel dan soket pengecas telefon dalam bas ekspres akan dijangka disiapkan seawal bulan April ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, piawaian berkenaan sedang dibangunkan oleh Suruhanjaya Tenaga dan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM.
Katanya, ini seterusnya akan menjadi garis panduan kepada syarikat pembuatan bas mengikuti piawai tersebut.
“Setakat ini, penggunaan soket pengecas masih dilarang penggunaan pada bas ekspres.
“Kita harap dalam tempoh enam bulan daripada laporan pasukan petugas khas berhubung kejadian itu dapat disiapkan pembangunan piawainya. Jadi, kita jangkakan bulan April atau Mei akan datang,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan sambutan Tahun Baharu Cina Lembaga Pelabuhan Klang dan peluncuran Malaysia Maritime Single Window (MMSW) , hari ini.
Kosmo! pada 2 November tahun lalu melaporkan seorang remaja lelaki maut selepas terkena renjatan elektrik daripada telefon bimbit yang sedang dicas pada soket dalam bas ekspres di terminal Penang Sentral.
Mangsa, Mohamad Nur Asymawi Jasmadi,18, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.
Susulan itu, Anthony Loke pada sidang Dewan Rakyat pada 7 November tahun lalu juga memaklumkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mengeluarkan larangan sementara penggunaan soket pengecas telefon dalam bas ekspres.
Ketika mengulas mengenai MMSW, Anthony Loke menjelaskan pembangunan sistem itu adalah arahan yang telah diluluskan oleh kabinet pada tahun 2023 untuk memenuhi keperluan International Maritime Organization (IMO) sebagai satu sistem berpusat di Malaysia menjelang 1 Januari tahun lalu.
Tambahnya, MMSW telah dilaksanakan sepenuhnya di Pelabuhan Klang dan kini diperluaskan ke pelabuhan utama lain seperti Pelabuhan Kuantan, Pelabuhan Kemaman, Pelabuhan Johor, Pelabuhan Pulau Pinang dan Bintulu.
“Pelaksanaan di pelabuhan – pelabuhan di negeri Sabah dan Sarawak dijangka akan bermula pada Mac 2025.
“Berdasarkan statistik yang direkodkan sistem MMSW menunjukkan sebanyak 10,682 buah kapal telah menggunakan bagi semua proses ketibaan dan pelepasan kapal di pelabuhan – pelabuhan seluruh negara dari 1 Jun hingga 31 Disember tahun lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE