PETALING JAYA – Kemenangan penyanyi Ernie Zakri yang berjaya merampas semula trofi Vokal Terbaik pada Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) semalam bukan sahaja memberi inspirasi kepada ramai pihak, tetapi juga buat Khairy Jamaluddin atau lebih dikenali sebagai KJ.
Menurut KJ atau nama lengkapnya Khairy Jamaluddin Abu Bakar, 49, yang kini bergelar penyampai radio Hot FM itu, dia sangat menyukai kemenangan Ernie.
“Saya sangat suka dengan kemenangan Ernie semalam sebab kemenangan ini adalah kemenangan ‘comeback’. Saya pun mencari inspirasi untuk ‘comeback’ juga.
“Ini adalah kemenangan kali ketiga Ernie. Kali terakhir Ernie menang vokal terbaik adalah pada AJL35. Selepas itu tiga tahun berturut-turut dia tak dapat. Tahun ini dia ‘comeback’,” kata KJ sewaktu bersiaran di Hot FM pagi tadi bersama pemenang-pemenang AJL39.
Kenyataan KJ itu telah mendapat sorakan mereka yang berada di dalam konti termasuklah Ernie sendiri dan juga Marsha Milan.
KJ sebelum ini merupakan ahli politik yang pernah menjawat jawatan sebagai Menteri Belia Dan Sukan, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi serta Menteri Kesihatan. Beliau juga merupakan bekas ahli parlimen Rembau dari tahun 2008 hingga 2022 sebelum mengubah kerjaya sebagai penyampai radio pada 2023.
Malam tadi, Ernie berjaya menggondol anugerah Vokal Terbaik di AJL39 yang berlangsung di Arena Axiata Bukit Jalil menerusi persembahan mantap menyampaikan lagu Aura.
Ernie pernah memenangi anugerah yang sama pada AJL32 menerusi lagu Aku Cinta duet bersama Syamel dan AJL35 menerusi lagu Gundah. – KOSMO! ONLINE