fbpx

‘Saya kembali ke bilik darjah, tetapi bukan sebagai guru’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar beramah mesra dengan murid SK Kampung Bharu semasa melakukan kunjungan mengejut ke sekolah itu pagi ini.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan kunjungan mengejut di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bharu di ibu negara hari ini.

Menurut Anwar, beliau mengunjungi sekolah tersebut bagi meninjau sendiri keadaan dan suasana hari pertama persekolahan yang bermula hari ini.

“Pagi tadi saya kembali ke bilik darjah bukan sebagai guru, tetapi sebagai seorang pemimpin yang mahukan persekitaran dan keadaan sekolah yang baik dan selesa buat anak-anak bangsa.

“Mendengar suara dan keluhan guru, ibu bapa termasuk para pelajar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri berkata, beliau dalam kunjungan itu meninjau dedikasi serta kecekalan para pendidik yang bersungguh-sungguh membentuk masa depan bangsa dan negara.

Menurutnya, dalam kunjungan singkat tersebut, beliau meluangkan masa untuk mendengar kerana perihal pendidikan bukan sekadar buku teks dan peperiksaan, tetapi membina impian, menerjah peluang dan mencorak harapan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau mengimbau saat berdiri di hadapan mahasiswa di Georgetown University, Washington di Amerika Syarikat di tahun-tahun lampau.

Ujarnya, peranan besar seorang guru dan pendidik dalam membimbing bukan sahaja dengan ilmu, tetapi dengan kasih sayang, sikap ihsan serta menjadi contoh teladan dan hikmah.

“Sudah tentu sekolah dan universiti adalah dua persekitaran yang berbeza, namun semangat mencurah bakti adalah yang sama.

“Justeru, sekolah mesti menjadi tempat yang selamat, selesa dan penuh harapan kerana pendidikan adalah pintu kejayaan.

“Di sebalik setiap harapan, ada tanggungjawab yang kita sebagai pemimpin, guru dan pendidik serta ibu bapa genggam dan pikul bersama demi kejayaan anak bangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI