KUALA LUMPUR – Sebanyak RM399 juta jumlah transaksi berjaya dihentikan oleh institusi perbankan sepanjang tahun lalu, daripada disalah guna bagi tujuan jenayah kewangan, termasuk penipuan dan akaun keldai.
Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, selain itu kes penipuan secara ‘phishing’ dan ‘malware’ dilaporkan kepada Bank Negara Malaysia turut menunjukkan penurunan 60 peratus bagi sembilan bulan pertama tahun lalu.
“Ini menunjukkan peraturan piawaian sedia ada ke atas institusi kewangan termasuk pengesanan penipuan adalah berkesan dalam mengurangkan kes penipuan dan meningkatkan keselamatan atas talian,” katanya.
Beliau berkata, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan bahawa 95 peratus daripada kes-kes penipuan kewangan di Malaysia terjadi akibat mangsa secara sukarela melakukan dan meluluskan transaksi pembayaran, misalnya penipuan cinta dan penipuan pelaburan tidak wujud.
“Dalam kes ‘authorised fraud’ seperti ini, pembayaran ganti rugi dengan sewenang-wenangnya boleh membawa kepada bahaya moral (moral hazard).
“Justeru, usaha oleh pelbagai pihak juga penting bagi memastikan orang ramai sentiasa cakna dan berwaspada terhadap penipuan kewangan,” katanya.
Hui Ying berkata, BNM telah menetapkan peraturan dan piawaian ke atas institusi kewangan bagi mengelakkan institusi tersebut disalah guna bagi tujuan jenayah kewangan, termasuk penipuan dan akaun keldai.
“Sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan terhadap peraturanperaturan ini terutama yang mengakibatkan kes penipuan berlaku, tindakan pengawalselian dan penguatkuasaan boleh diambil terhadap bank tersebut termasuk pendakwaan, kompaun, admin penalti mahupun surat amaran.
“Usaha memantau tahap kepatuhan institusi-institusi kewangan berkenaan peraturan ini dilakukan oleh BNM secara berterusan sebagai sebahagian daripada proses
penyeliaan sektor kewangan di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Chong Chieng Jen (PH-Stampin) berhubung sama ada kerajaan akan mewajibkan bank yang membenarkan akaun keldai dibuka dan digunakan dalam penipuan dan bank scam agar membayar ganti rugi kepada mangsa. – KOSMO! ONLINE