SEMENYIH – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak bercadang untuk membenarkan pelajar sekolah pulang lebih awal sepanjang bulan Ramadan tahun ini.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, sesi persekolahan akan berlangsung seperti biasa mengikut garis panduan sedia ada.
“Ramadan sekolah kita macam biasa. Nak balik awal kenapa? Bukan boleh buka puasa awal pun,” katanya secara berseloroh ketika ditanya pemberita tentang perkara tersebut hari ini.
Terdahulu, beliau dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melakukan lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih yang baru memulakan operasi hari ini.
Fadhlina berkata, KPM bagaimanapun akan mengambil maklum sekiranya terdapat keperluan khas atau isu tertentu berkaitan perkara dibangkitkan tersebut.
“Setakat ini kita ada garis panduan, jadi minta semua rujuk garis panduan. Kita minta lihat garis panduan dan patuhi berkaitan Ramadan.
“Berkenaan pembukaan kantin juga sama saja macam biasa kita umumkan setiap tahun. Macam biasa tiada masalah,” katannya. – KOSMO! ONLINE