PERNAH meledak dengan lagu Swipe, nama penyanyi Alyph kini gah meniti di bibir peminat muzik Nusantara. Susuk penyanyi rap dan penerbit muzik itu bukan sekadar mencuri perhatian, malah berjaya meninggalkan jejak emas dalam industri seni.
Karyanya ibarat arus deras yang melanda, penuh tenaga dan semangat yang membakar jiwa pendengar.Dengan gaya penuh swag, pemilik nama sebenar Muhammad Alif Abdullah itu mencipta pesona tersendiri.
Dia bukan sekadar bintang biasa, tetapi seorang seniman yang menjadikan seni sebagai teras kehidupannya. Tidak seperti sesetengah selebriti yang gemar menjaja kisah peribadi, lelaki berusia 33 tahun itu memilih untuk berdiri dengan martabat seni.
Jarang sekali kita melihat Alyph membuka cerita tentang isteri mahupun anak-anaknya dalam media sosial kerana baginya keluarga adalah privasi yang tidak boleh dikompromi. Kata pelantun lagu Check itu, segala tentang kehidupan rumah tangga perlu kekal rahsia bahkan harus jauh daripada tatapan umum.
“Produk saya cuma muzik, bukan kisah peribadi. Jadi, dari situ saya agak tegas untuk mengasingkan kedua-duanya. Privasi perlu dijaga.
“Macam-macam perkara boleh kita dapat daripada internet, tetapi saya tidak mahu beri galakan. Hal peribadi saya terlalu dekat di hati. Jadi, tidak penting untuk orang lain tahu.
“Saya memang memilih untuk mendahulukan karya dan bukan hal lain. Sebab itu, saya tak rasa semua orang perlu tahu tentang kehidupan peribadi saya,” katanya kepada HibGlam.
Tambah penghibur asal Singapura itu, keputusan untuk tidak berkongsi kehidupan peribadinya bukan sekadar menjaga keluarganya, tetapi juga untuk mengelakkan spekulasi yang tidak perlu.
“Jika ada pengikut yang menghantar mesej peribadi (DM), mungkin saya akan berkongsi bila rasa perlu. Kalau masanya sesuai, saya akan ceritakan, tetapi saya tak akan bercerita sesuka hati.
“Saya tidak mahu kehidupan peribadi menjadi perbualan. Saya mahu dikenali melalui muzik, bukan kisah rumah tangga,” tegasnya.
Lagu viral bukan prioriti
Berkongsi tentang karya dan kerjaya, bapa kepada dua anak itu berpasak pada prinsip bahawa dia tidak menghasilkan lagu sekadar untuk mengejar perihal viral sebaliknya menegaskan setiap kerja dihasilkan dengan jiwa dan visi yang jelas.
“Kalau niat saya buat lagu untuk viral, itu terlalu mudah. Tapi, perkara seperti itu tak akan kekal lama. Saya tak mahu menipu pendengar. Sebagai pemuzik, saya mahu setiap karya memberi makna, bukan sekadar tular untuk seketika. Perkara seperti itu tiada nilai,” tegasnya.
Kini, bekas ahli kumpulan Sleeq itu sedang sibuk mempromosikan album terbaharunya berjudul The Storm.
Album terbitan Def Jam tersebut memuatkan 12 lagu seperti Red Flags, Saham Naik dan Bestfriend Part 2 telah dilancarkan di semua platform digital sejak 24 Januari lalu.
The Storm bukan sekadar album, tetapi satu karya agung yang membuktikan kehebatan Alyph sebagai pemuzik serba boleh.