SHAH ALAM – Tindakan pantas dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan seorang lelaki daripada rentung selepas kenderaannya terbakar setelah bertembung dengan trak PDRM di Jalan Bukit Cerakah, Kapar di sini.
Mangsa berusia 56 tahun itu diselamatkan oleh anggota polis
yang memecahkan cermin sebelum menarik mangsa keluar.
Dua anggota polis itu hanya cedera ringan manakala pemandu trak berkenaan pula yang patah tangan telah bertindak mengundurkan jentera bagi mengelakkan turut terbakar.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, seramai enam anggota termasuk pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pukul 6.40 pagi.
Katanya, berdasarkan maklumat awal melibatkan kemalangan sebuah kereta jenis Kia Sorento yang bertembung dengan trak polis.
“Akibat pertembungan itu menyebabkan kereta itu terbakar 90 peratus.
“Pemandu kereta itu berjaya diselamatkan anggota polis dengan cara memecahkan cermin dan menarik keluar mangsa sebelum kenderaan itu terbakar sepenuhnya,” katanya hari ini.
Susulan kemalangan itu juga menyebabkan pemandu kereta tersebut patah kaki manakala seorang anggota polis patah tangan dan dua lagi cedera ringan.
Jelasnya, kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE