RANTAU PANJANG – Cubaan dua pemandu lori untuk menghantar pokok kayu keruing dan pelbagai jenis spesies bunga bernilai RM4.3 juta yang diseludup dari Thailand ke Melaka dan Pahang tidak kesampaian apabila kenderaan dipandu mereka ditahan di lokasi berasingan di sini kelmarin.
Kedua-dua pemandu lori 41 dan 33 tahun itu dicekup semasa Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menjalankan operasi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan di sini.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, tangkapan pertama dijalankan kira-kira pukul 11 pagi selepas anggota PGA menahan sebuah lori di Kampung Dedap di sini.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam lori itu menjumpai pelbagai jenis pokok bunga iaitu 4,700 pokok puding, 1,200 pokok sandpaper, 1,000 pokok masjutik hijau, 800 pokok masjutik batik dan 500 pokok oleander.
“Siasatan lanjut mendapati, kesemua tanaman yang dianggarkan bernilai RM1.8 juta itu dipercayai diseludup dari Thailand. Anak-anak pokok itu juta disyaki sudah dijangkiti serangga perosak dan penyakit.
“Pemandu lori berusia 41 tahun itu juga dikatakan sedang dalam perjalanan untuk menghantar tanaman tersebut ke Melaka,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, tangkapan kedua pula dijalankan kira-kira pukul 9.15 malam pada hari yang sama selepas anggota PGA menahan sebuah lori di Jalan Gual Tinggi di sini.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati, lebih 5,000 anak pokok jenis keruing yang dipercayai diseludup dari Thailand ditemui di dalam kenderaan tersebut.
“Tanaman yang dianggarkan bernilai RM2.5 juta itu disyaki mempunyai serangga perosak dan penyakit.
“Siasatan lanjut mendapati, pemandu lori yang berusia 33 tahun itu akan menghantar tanaman tersebut ke sebuah nurseri di Jerantut, Pahang,” ujarnya.
Beliau berkata, suspek dan barang rampasan bagi kedua-dua kes itu dihantar ke Balai Polis Rantau Panjang di sini untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5. – KOSMO! ONLINE