fbpx

PKNPk, KAB jalin kerjasama bangunkan 29 projek tenaga boleh diperbaharui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Redza Rafiq mengakui Perak mempunyai potensi besar menjadi pemain utama industri tenaga boleh diperbaharui di negara ini.

IPOH – Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menjalin kerjasama dengan Kinergy Advancement Berhad (KAB) bagi membangunkan 29 projek tenaga boleh diperbaharui di negeri ini.

Semua 29 projek tersebut setelah siap kelak dijangka menjana kuasa sehingga lebih 1,800 megawatt (MW) di Perak iaitu 1,500MW menerusi tenaga solar, 300 megawatt peak (MWp) tenaga solar terapung dan 50MW kuasa hidro.

Di bawah perjanjian berkenaan, anak syarikat KAB iaitu KAB Energy Holdings Sdn. Bhd. (KABEH) akan bekerjasama dengan PKNPk untuk mengenal pasti, menilai dan membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui di seluruh Perak.

Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, dengan jumlah sumber yang banyak, Perak kini mengambil langkah untuk membangunkan tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berkata, ia merupakan satu daripada usaha untuk beralih ke arah masa depan lebih hijau dan mampan.

“Potensi Perak untuk menjadi pemain utama bagi landskap tenaga boleh diperbaharui di Malaysia, dengan menggunakan sumber tenaga yang pelbagai seperti kuasa solar dan hidro menjadi pemangkin sikap optimistik dan bukti komitmen tidak berbelah bahagi kami kepada kemapanan.

“Dengan peralihan terhadap kuasa hijau kini mendapat momentum, penambahan sumber kuasa boleh diperbaharui seperti hidro dan solar memang mengujakan,” katanya di sini hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan KAB, Datuk Lai Keng Onn berkata, pihaknya teruja untuk bekerjasama dengan PKNPk untuk membangunkan projek-projek berkenaan di negeri ini.

Katanya, KAB berbangga dengan kerjasama dijalin itu dan menawarkan kepakaran untuk membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui sekali gus meneroka potensinya di negeri ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI