KUALA LUMPUR – Petroleum Sarawak Bhd. (Petros) yang berperanan sebagai agregator industri minyak di negeri Sarawak antara beberapa perkara telah dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menyambut aspirasi Sarawak yang berhasrat menceburi kegiatan industri minyak di negeri itu, ia dijelmakan melalui Ordinan Pengedaran Gas 2016 (DGO) dan berkuat kuasa pada 1 Mac 2025.
Menurutnya, peranan tersebut tetap mengesahkan kelulusan sebelumnya kepada Petronas dan anak-anak syarikat dan ini bermakna, Petronas akan mengekalkan semua perjanjian (contractual obligations) domestik dan antarabangsa sedia ada.
“Petros di bawah DGO dijamin memperolehi gas asli sehingga 1.2 bilion kaki padu sehari untuk keperluan domestik Sarawak dengan jaminan penambahan berdasarkan keperluan berikutnya.
“Petros juga berwewenang meluaskan kegiatan baharu dan memanfaatkan kerjasama dengan Petronas,” katanya di Dewan Rakyat memberi penerangan mengenai aktiviti petroleum di Sarawak (Petronas-Petros) hari ini.
Beliau berkata, Petronas dan Petros akan bergerak sederap sebagai rakan bagi menjamin kepentingan dan hasil negara serta kepentingan negeri Sarawak.
Katanya, segala rundingan terperinci berikutnya akan mengekalkan manfaat dan kepentingan bersama mengikut prinsip komersial secara telus.
Anwar berkata, Petronas telah menyempurnakan tugas dengan menjamin pengagihan kepada semua negeri yang mana untuk Sarawak, manfaat pembangunan industri minyak dan gas di negeri itu merangkumi pelaburan huluan dan infrastruktur berjumlah melebihi RM280 bilion sejak 1976.
“Daripada jumlah pelaburan huluan tersebut, dianggarkan lebih RM90 bilion nilai kontrak dibelanjakan dalam tempoh 10 tahun lepas (2014-2024) sahaja. Syarikat vendor berdaftar dari Sarawak telah mendapat kontrak melebihi RM40 bilion dalam tempoh yang sama.
“Daripada segi pulangan kewangan, Sarawak telah menerima Bayaran Tunai sebanyak RM49 bilion (sehingga Disember 2024), Bayaran Cukai Jualan sebanyak RM18.66 bilion (sehingga suku ketiga 2024) dan Dividen sebanyak RM28.6 bilion (sehingga Disember 2024) melalui pegangan saham State Financial Secretary of Sarawak (SFS) dalam Syarikat Kumpulan MLNG,” katanya. – KOSMO! ONLINE