KAJANG – Perselisihan faham antara suami dan isteri dipercayai menjadi punca seorang wanita menikam suaminya sehingga maut dalam kejadian di hadapan sebuah unit pangsapuri di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden itu daripada orang awam sekitar pukul 11 pagi.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis bersama pasukan forensik dikerahkan ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Pemeriksaan mendapati mangsa, seorang lelaki tempatan berusia 60 tahun yang merupakan seorang kontraktor, telah disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Naazron, pihak polis telah merampas sebilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu, selain beberapa sampel barang kes bagi membantu siasatan.
“Seorang wanita tempatan berusia 59 tahun yang juga merupakan suri rumah telah ditahan bagi membantu siasatan dan direman selama lima hari bermula hari ini,” ujarnya.
Mayat mangsa katanya, telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat yang dijalankan pada pukul 12.30 tengah hari tadi.
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat beberapa kesan tikaman. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE