Industri emas dan barang kemas bukan sekadar membeli dan menjual emas atau terbabit dalam segmen pajak gadai konvensional serta Ar Rahnu tetapi sebenarnya industri itu sendiri memiliki sebuah ekosistem yang luas, malah mampu menawarkan peluang perniagaan berpotensi untuk diteroka.
Bersandarkan inisiatif berkenaan, Pengarah JEMiSys Technologies Sdn. Bhd., Ted Chow telah berusaha membangunkan sebuah perisian dan sistem yang berkaitan sejak 19 tahun lalu lalu yang dikenali sebagai
JEMiSys yang kini diguna pakai oleh ramai pemain dalam industri berkenaan di Malaysia.
Perisian penyelesaian itu diyakini membantu meningkatkan kecekapan operasi perniagaan sehingga 80 peratus sekali gus dapat mengembangkan perniagaan untuk tempoh jangka panjang, lebih menarik ia dapat memberi ketenangan kepada pemilik syarikat daripada kecuaian, ketirisan dan kecurian barang kemas serta emas.
Lebih menarik, untuk meningkatkan keyakinan pelanggan, syarikat sedang dalam proses mendapatkan sijil pematuhan syariah daripada pihak berkuasa bagi perisian dan sistem yang digunakan dalam transaksi perdagangan emas.
“Kami jangkakan ini menjadi satu nilai tambah buat perkhidmatan sedia ada dan kami menjangkakan kelulusan patuh syariah itu bakal diperoleh dalam separuh kedua tahun ini, sekali gus ia bakal mengukuhkan keyakinan pelanggan khususnya pemilik perniagaan beragama Islam,”
katanya ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.
Kosmo!: Boleh jelaskan secara umum apakah perkhidmatan yang ditawarkan oleh JEMiSys?
Chow: Kami adalah sebuah syarikat perisian yang menawarkan satu penyelesaian atau sebuah sistem yang berinovatif, selamat dan mesra pengguna bagi semua pemain termasuk pemborong, peniaga dan peruncit dalam bidang perniagaan emas, barangan kemas dan juga pajak gadai.
Kami menyediakan teknologi terkini yang akan memudahkan operasi, meningkatkan pengalaman pelanggan dan memastikan ketelusan serta kepercayaan dalam transaksi perdagangan emas serta barang kemas.
Siapakah pelanggan syarikat?
Lebih 70 peratus terdiri daripada peruncit dan bakinya adalah pemborong.
Kenapa perlunya sesebuah syarikat dalam industri ini memiliki sistem JEMiSys ini?
Perisian ini berbeza daripada perisian lain yang bersifat umum tetapi sistem ini direka khusus untuk menguruskan emas, berlian, batu permata termasuk kawalan berat, ketulenan dan juga harga yang berubah-ubah.
Kami juga menawarkan integrasi yang menyeluruh dengan automasi pintar serta disepadukan dengan e-dagang, perakaunan selain automasi harga emas berdasarkan pasaran semasa yang membolehkan perniagaan menguruskan operasi dengan lebih cekap.
Sebagai contoh, wujudnya e-invois yang mana ia disepadukan dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan jabatan tersebut memiliki semua rekod, invois transaksi pembelian, penjualan dan pelbagai lagi.
Sekiranya syarikat itu tidak menggunakan JEMiSys, mereka terpaksa membuat secara manual untuk dihantar segala transaksi perdagangan kepada LHDN. Oleh itu, cara ini akan melibatkan banyak masa digunakan, malah kemungkinan besar, berlakunya kesilapan tenaga kerja.

Bolehkah anda berkongsi kemajuan terkini syarikat dalam penggunaan teknologi RFID? Bagaimana ia meningkatkan kecekapan pengurusan inventori?
JEMiSys telah mengintegrasikan teknologi RFID (Radio Frequency Identification) dalam sistem pengurusan inventori untuk meningkatkan kecekapan, ketepatan dan keselamatan bagi perniagaan barang kemas.
Melalui teknologi tersebut, ia membolehkan pengimbasan serentak ke atas ratusan item dalam masa beberapa minit dan ini akan mempercepatkan proses kiraan stok sekali gus mengurangkan keperluan kiraan manual dan kesilapan manusia.
Setiap barang kemas mempunyai tag RFID unik, membolehkan pemilik menjejaki lokasi barang secara masa nyata jadi ia akan membantu mengurangkan kehilangan atau kecurian barang yang mana ini adalah antara cabaran utama dalam industri.
Peniaga juga boleh mengenal pasti trend jualan dan merancang stok masa hadapan dengan lebih baik, mengakses maklumat produk dengan cepat dan tepat serta membolehkan syarikat menawarkan layanan lebih pantas dan profesional kepada pelanggan.
Berapakah bayaran yang dikenakan kepada pelanggan?
Kami mengenakan bayaran serendah RM25,000 untuk pemasangan dan lesen, manakala bagi setiap tahun pula ia akan dikenakan yuran penyelenggaraan.
Sekiranya, pengusaha itu mahu menambah cawangan maka, bayaran hanya RM10,000 sahaja untuk pemasangan di outlet baharu tersebut.
Teknologi JEMiSys dibangunkan untuk masa hadapan, jadi untuk tempoh kira-kira 10 tahun akan datang, ia tidak perlu dikemas kini kerana kami sentiasa memastikan ia berada ke hadapan dan tidak akan memberi sebarang kebimbangan kepada pemilik syarikat.
Di manakah segala maklumat disimpan dan adakah perisian itu ia mesra pekerja?
Emas dan barang kemas adalah suatu perkara yang sensitif dan pelanggan selalumya tidak mahu menyimpan data dalam awan.
Bagaimanapun, kami menawarkan dua pilihan sama ada memilih awan atau client server (pelanggan-pelayan). Jadi ia akan membolehkan pemilik perniagaan memantau operasi bisnes dari mana-mana sahaja. -KOSMO! ONLINE