MELAKA – Seorang pensyarah warga Bangladesh di sebuah universiti awam di Pantai Timur didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencabul kehormatan dua penuntut lelaki, tahun lalu.
Tertuduh, M. Rezaul Karim, 54, mengaku tidak bersalah sejurus dua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin.
Berdasarkan dua kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap dua penuntut lelaki berusia 23 tahun dengan maksud untuk mencabul kehormatan mangsa.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 3.15 pagi dan 2.30 pagi di dalam bilik sebuah hotel dalam daerah Melaka Tengah pada 24 dan 25 Oktober 2024.
Kedua-dua kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua orang penjamin warga tempatan, pasport diserahkan kepada mahkamah dan menetapkan tarikh 27 Mac depan untuk serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE