MELAKA – Seorang pembantu kedai runcit warga Bangladesh didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencederakan dan mengurung seorang wanita orang kurang upaya (OKU) lembam secara salah, tahun lalu.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin menjatuhkan hukuman itu selepas menerima pengakuan salah tertuduh, Miah Md. Rokib, 22, sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Miah bersama-sama seorang rakan sejenayah yang masih bebas didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap seorang wanita berusia 23 tahun kira-kira pukul 7 malam di sebuah unit di Pangsapuri Kesidang, Taman Tasik Utama dalam daerah Melaka Tengah pada 1 Oktober 2024.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh bersama seorang rakan sejenayah turut didakwa mengikut Seksyen 342 KK dibaca bersama Seksyen 34 KK kerana mengurung wanita itu secara salah pada waktu, lokasi dan tarikh sama.
Mengikut fakta kes, ketika berada di belakang rumah pada pukul 7 malam, mangsa didatangi dua lelaki Bangladesh yang membawanya masuk ke sebuah rumah di pangsapuri berkenaan dan dikurung.
Mangsa yang juga OKU lembam berjaya diselamatkan oleh keluarganya kira-kira 30 minit kemudian yang membuat pencarian di sekitar pangsapuri itu. Mangsa ditemui dalam keadaan tangan dan kaki diikat dengan wayar pengecas telefon bimbit dan mengalami kecederaan di kepala. – KOSMO! ONLINE