GUA MUSANG – Seorang lelaki maut selepas lori yang dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik di kawasan jalan balak di Kampung Panggung Lalat di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.15 petang itu, mangsa, Mohamad Zulkarnain Azmi, 31, meninggal dunia di lokasi kejadian selepas tersepit di bahagian tempat duduk pemandu manakala seorang kelindan berusia 21 tahun cedera pada bahagian badan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, lori jenis santaiwong itu sedang dalam perjalanan dari Jalan Kongsi Betau Balak menghala ke Jalan Betau Balak Luar.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, lori tersebut dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh ke kanan jalan sebelum terbalik.
“Kemalangan itu menyebabkan Mohamad Zulkarnain tersepit pada bahagian pemandu. Mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk rawatan awal.
“Mangsa disahkan meninggal dunia semasa sedang dirawat sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya – KOSMO! ONLINE