IPOH – Bekas Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Noor Hisam Nordin memulakan tugas sebagai Ketua Polis Perak yang baharu berkuat kuasa hari ini menggantikan Datuk Azizi Mat Aris yang bersara wajib pada 8 November lalu.
Sebelum ini, jawatan Ketua Polis Perak dipangku oleh Zulkafli Sariaat yang juga Timbalan Ketua Polis Perak.
Majlis serah terima tugas tersebut berlangsung di Mes Pegawai Kanan Perak dengan disaksikan oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Azri Ahmad.
Turut diadakan majlis serah terima tugas Pengerusi Persatuan Kebajikan Polis (Perkep) negeri antara Datin Noormawati Abdul Latip dan Zaleta Ibrahim dengan disaksikan Datin Seri Norliah Othman.
Noor Hisam dalam ucapannya berkata, jawatan Ketua Polis Perak merupakan satu amanah dan tanggungjawab yang besar untuk digalas dalam memastikan perjalanan operasi pasukan polis sentiasa berada di landasan yang betul selain bertanggungjawab memastikan keamanan dan ketenteraman awam kekal terpelihara.
“Kemajuan pangkat adalah suatu rezeki dan ia diiringi dengan suatu tanggungjawab besar untuk dipikul. Insya-Allah, berbekalkan pengalaman yang ada dan digabungkan dengan kredibiliti serta idea warga polis Perak, saya yakin untuk mengetuai pasukan ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE