KUALA LUMPUR – Nilai perpaduan yang diperjuangkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj perlu terus diperkukuhkan dalam menghadapi cabaran semasa, termasuk perbezaan politik dan isu sosial.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata prinsip Rukun Negara yang menjadi asas kepada perpaduan rakyat Malaysia harus terus dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.
“Kita harus mencontohi kepimpinan dan wawasan Tunku dengan memastikan prinsip Rukun Negara sentiasa dijadikan panduan dalam kehidupan seharian kita.
“Prinsip-prinsip ini bukan sekadar slogan, tetapi menjadi asas yang mengikat kita sebagai rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Memperingati Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, di sini hari ini.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai penghormatan terhadap jasa dan sumbangan Perdana Menteri pertama itu dalam perjuangan kemerdekaan serta pembangunan negara.
Program ini dianjurkan bagi menyebarluaskan maklumat sejarah serta legasi kepimpinan Tunku Abdul Rahman dalam membentuk perpaduan, membangunkan ekonomi negara, dan memperjuangkan kemerdekaan Malaysia.
Selaras dengan gagasan Kerajaan Madani yang menekankan kesejahteraan, keadilan sosial, dan keterangkuman, nilai-nilai kepimpinan Almarhum dilihat terus relevan dalam usaha membina negara yang harmoni dan progresif.
Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut melawat pameran khas di Memorial Tunku Abdul Rahman yang menempatkan pelbagai bahan sejarah negara termasuk Pejabat Perdana Menteri pertama, Meja Pengisytiharan Kemerdekaan 1957 dan Meja Pemasyhuran Malaysia 1963.
Memorial yang dibuka secara rasmi pada 10 November 1994 itu memaparkan dokumen, gambar, hadiah, keratan akhbar serta barangan peribadi Almarhum sebagai penghormatan kepada Bapa Kemerdekaan Malaysia. – KOSMO! ONLINE