PETALING JAYA – Komuniti India di Bestari Jaya, Tanjong Karang kini boleh menarik nafas lega apabila isu perumahan dihadapi mereka kini berjaya diselesaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas 27 tahun ia tertangguh.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R. Ramanan berkata, ini menerusi cadangan pembangunan Projek Program Residensi Rakyat (PRR) Harmoni Madani Bestari Jaya dianggarkan berjumlah RM75 juta.
Menurutnya, Kerajaan Madani melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersetuju dengan cadangan pembangunan PRR tersebut yang mana melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan sebanyak RM40 juta dan Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM35 juta.
“Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar sering memberi perhatian terhadap isu-isu spesifik berkaitan semua kaum termasuk kaum India.
“Saya mewakili masyarakat India di negara ini merakamkan ‘nandri’ (terima kasih) kepada Perdana Menteri dan KPKT yang telah berjaya menyesaikan isu perumahan ini selepas hampir 27 tahun tertangguh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ramanan merangkap Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, beliau juga dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal komuniti India dan Perdana Menteri komited serta memberi perhatian dalam menangani isu berkaitan dengan komuniti itu di negara ini.
Katanya, Anwar juga sering mendapatkan maklumat terkini berhubung isu komuniti India dan segala inisiatif yang dilaksanakan daripada semua agensi.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada Menteri KPKT, Nga Koh Ming yang telah mengambil membantu merealisasikan impian ini. Kerajaan Madani mendengar dan bertindak. Inilah cara kita,” katanya.
PRR Harmoni Madani Bestari Jaya bakal dibangunkan di atas tanah berkeluasan 20 ekar diberikan secara percuma oleh Syarikat Berjaya Corporation Berhad.
Ia merupakan kediaman jenis teres satu tingkat dalam kategori jualan terus (outright sale) dan mempunyai 245 unit rumah dilengkapi kemudahan seperti tadika, taska, kedai, gerai, dewan komuniti dan taman permainan kanak-kanak.
Rumah ini bakal didiami oleh 245 keluarga pekerja daripada lima ladang iaitu Ladang Mary, Ladang Nigel Garder, Ladang Bukit Tagar, Ladang Sungai Tinggi dan Ladang Minyak. – KOSMO! ONLINE