JAKARTA – Seorang lelaki di Purbalingga, wilayah Jawa Tengah berpura-pura menjadi mangsa kejadian ragut selepas menghabiskan wang milik mentuanya sebanyak 2.7 juta rupiah (RM730) untuk bermain judi online.
Laman berita Tribunnews melaporkan, lelaki bernama Beny Wijaya bahkan sanggup mencederakan tangan dan kepalanya sendiri untuk membuktikan bahawa dia diragut.
Menurut Ketua Polis Purbalingga, Ajun Komisioner Besar Achmad Akbar, lelaki itu pada Jumaat lalu diminta oleh bapa mentuanya untuk mengeluarkan wang dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM).
“Beny secara senyap-senyap menggunakan wang tersebut untuk dijadikan duit deposit judi online sehinggakan hanya berbaki 100,000 rupiah (RM27),” kata Achmad.
Tambahnya, selepas usaha untuk meminjam wang daripada rakannya gagal, Beny mendapat idea untuk mereka cerita bahawa dia diragut dan wang milik bapa mentuanya dikebas.
Achmad berkata, Beny kemudian melukakan dirinya menggunakan pisau selepas menyembur tangan dengan ubat bius selain memukul kepalanya menggunakan batu.
Video Beny berpura-pura meminta tolong daripada penduduk kemudian menjadi tular sebelum polis mengesan terdapat kejanggalan dalam dakwaan lelaki tersebut.
“Polis akhirnya dapat merungkai kejadian sebenar dan mengesan bahan bukti dalam telefon bimbit Beny yang disembunyikan,” katanya.
Beny boleh dikenakan hukuman kerana membuat laporan palsu, namun Achmad berkata, pihaknya menyerahkan lelaki itu kepada keluarganya sendiri untuk mendapat pengajaran. – AGENSI