SILVERSTONE – Pasukan McLaren mendedahkan bahawa mereka tidak memberi layanan anak emas kepada pemandunya, sebaliknya membuka peluang sama rata dalam perlumbaan Formula Satu (F1) musim ini.
Musim lalu, Lando Norris memperagakan aksi cukup memukau dan menamatkan saingan pada kedudukan kedua keseluruhan sementara Oscar Piastri di tempat keempat.
Kini, McLaren dilihat bakal berdepan cabaran lebih besar dalam menguruskan persaingan dalaman antara dua pemandu muda mereka itu.
Ketua Pasukan McLaren, Andrea Stella menegaskan prinsip perlumbaan pasukan tidak akan berubah terutama menerusi kedua-dua pemandunya.
“Aspek utama adalah kedua-dua pemandu memulakan musim dengan peluang yang sama rata. Prinsip perlumbaan kami akan terus berasaskan nilai yang telah kami gunakan tahun lalu.
“Kami telah mengkaji semua situasi di mana kedua-dua pemandu berada dalam kedudukan yang cukup rapat dan saya sangat kagum dengan bagaimana mereka menangani situasi itu,” katanya.
Tambah Stella, persaingan dalam pasukan kekal sihat dengan setiap pemandu sedar McLaren bukan hanya tentang kemenangan individu, tetapi kejayaan bersama.
“Jika seseorang pemandu tidak sepenuhnya menerima prinsip ini, maka dia bukan pemandu yang tepat untuk McLaren. Sebarang arahan pasukan akan dibincangkan lebih awal dan dipersetujui bersama.
“Jika mereka boleh bertarung dengan adil dan jentera cukup kompetitif, itu bermakna kami telah melakukan tugas dengan baik dari sudut teknikal dan strategi perlumbaan,” jelasnya. – AGENSI