IPOH – Mayat seorang lelaki ditemukan di dalam longkang di Persiaran Rishah 4, Kawasan Perindustrian Silibin di sini hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, maklumat penemuan itu dilaporkan kepada pihak bomba pada pukul 8.38 pagi.
Katanya, sepasukan enam anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh segera diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati seorang lelaki berada dalam keadaan tertiarap dan berlumuran darah pada bahagian kepala di dalam longkang yang berkedalaman lebih kurang tiga meter.
“Pemeriksaan oleh pegawai perubatan mendapati mangsa telah pun meninggal dunia. Identiti mangsa bagaimanapun tidak diperolehi,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mangsa dibawa naik ke tebing menggunakan tali webbing dan pengusung dengan bantuan jentera forklift milik syarikat berhampiran.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 9.40 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE