ISKANDAR PUTERI – Rahsia kehidupan mewah seorang lelaki Singapura yang menyewa sebuah apartmen elit di sini terbongkar selepas dia ditahan malam Rabu lalu selepas disyaki mengedar dadah.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M. Kumarasan berkata, suspek yang berusia 39 tahun itu ditahan di kediamannya pada pukul 8.40 malam.
Menurut beliau, suspek yang disyaki melakukan bisnes haram itu sejak Julai tahun lalu ditahan bersama 1,715.23 gram heroin dan 67.13 gram syabu bernilai keseluruhan RM21,106.
“Siasatan awal mendapati suspek memperoleh dadah daripada negara ini sebelum diedar untuk pasaran luar negara. Sekiranya kekal dalam pasaran ia boleh digunakan seramai 1,845 penagih.
“Selain dadah, polis turut menyita sebuah Audi A5 berwarna hitam dan sebuah jam tangan berwarna keemasan jenama Nixon,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri di sini hari ini.
Tambah Kumarasan, ujian urin dibuat mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, dan kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sementara itu, beliau turut memaklumkan kejayaan pihaknya menahan seramai tujuh lelaki tempatan bersama rampasan arak tidak bercukai berjumlah RM79,500 di sekitar Nusa Bestari, di sini juga pada hari sama.
Menurut beliau, kesemua suspek yang ditahan berusia antara 26 hingga 46 tahun dengan empat daripada mereka mempunyai rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan dadah.
“Dalam serbuan itu, polis merampas 530 kotak mengandungi arak pelbagai jenama serta menyita sebuah lori dan tiga buah kereta jenis Toyota Estima.
“Kesemua suspek direman sehingga 24 Februari depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE