BANGKOK – Seorang lelaki di wilayah Nakhon Si Thammarat diberkas selepas merompak sebuah kedai emas bagi membeli hadiah sempena Hari Kekasih buat teman wanitanya, lapor laman berita Thaiger semalam.
Chayanan But-nga, 26, ditahan di samping beg galas mengandungi wang tunai sebanyak 42,000 baht (RM5,520) yang diperoleh dengan menggadai seutas rantai lain yang dicuri sebelumnya.
Turut ditemukan adalah beberapa barangan kemas yang dirompak iaitu rantai, gelang tangan dan gelang Buddha, masing-masing bernilai 48,150 baht (RM6,300), 24,400 baht (RM3,200) dan 17,670 baht (RM2,300).
Rompakan itu berlaku pada 14 Februari lalu.
Suspek mengaku melakukan jenayah itu dan menjelaskan bahawa dia terdesak untuk mendapatkan wang tambahan bagi membayar hutang pinjaman harian sebanyak 500 baht (RM65) setelah menganggur selama berbulan-bulan.
Dia ditahan untuk tindakan selanjutnya. – AGENSI