SEOUL – Seorang lelaki ditahan selepas cuba merompak sebuah bank di Korea Selatan menggunakan pistol air dinosaur dibalut dengan plastik, lapor portal berita Must Share News semalam.
Kejadian berlaku sekitar pukul 10.58 pagi (waktu tempatan) di bandar raya Busan baru-baru ini.
Suspek yang berusia dalam lingkungan 30-an, masuk ke dalam bank melalui pintu utama dan mengacukan ‘pistol’ ke arah pelanggan serta kakitangan.
Pengurus bank berkenaan segera menekan butang kecemasan ketika suspek cuba masuk ke dalam pejabatnya.
Selepas gagal memasuki bilik itu, dia bergegas ke kaunter dan mengarah kakitangan untuk mengisi beg yang dibawa dengan wang sebanyak 50,000 won (RM154).
“Suspek berjaya ditangkap selepas tangannya ditarik oleh seorang lelaki.
“Suspek didapati menggunakan plastik untuk menyembunyikan pistol air mainan berbentuk dinosaur,” kata polis. – AGENSI