PASIR MAS – Seorang lelaki Pakistan yang dipercayai menjadi dalang dalam kegiatan mengangkut pendatang asing tanpa izin (PATI) dicekup semasa memandu sebuah kereta di Kampung Serongga di sini semalam.
Suspek yang berusia 40 tahun ditahan kira-kira pukul 9 pagi semasa semasa membawa empat lagi PATI warga Pakistan di dalam sebuah kereta jenis Proton Iriz.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, anggota PGA menahan kereta tersebut selepas mendapati ia dipandu dalam keadaan mencurigakan sebelum terus menjalankan sekat pintas.
Menurutnya, pemeriksaan mendapati, lima lelaki warga Pakistan yang berada di dalam kereta tersebut gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pemandu kereta yang berusia 40 tahun itu dipercayai menyediakan perkhidmatan pengangkutan kepada PATI.
“Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, pemandu kereta itu ditahan mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 manakala empat penumpang disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama. – KOSMO! ONLINE