PORT DICKSON – Lebih 70 peratus daripada keseluruhan 55,269 kanak-kanak yang mengikuti Program Pra Tahfiz Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) berjaya menguasai 10 surah daripada Juzuk 30 (Juzuk Amma) pada tahun lalu.
Ketua Pengarah Kemas, Datuk Mohd. Hanafiah Man berkata, pencapaian itu sesuatu yang membanggakan bagi kanak-kanak seawal usia lima hingga enam tahun menguasai hafazan al-Quran.
“Pencapaian 70 peratus itu selepas anak-anak ini memasuki Program Pra Tahfiz Tabika Kemas yang mana pada awalnya tanpa sebarang asas dapat menguasai 10 surah.
“Bagi tahun 2025 jumlah ini akan bertambah, sehingga 120,000 kanak-kanak apabila Kemas melaksanakan peluasan sebanyak 4,000 kelas tabika pra tahfiz yang melibatkan 60,000 kanak-kanak,” katanya pada sidang akhabar di sini hari ini.
Program Pra Tahfiz Tabika Kemas merupakan satu program untuk memperkasakan lagi Pendidikan al-Quran dengan sasaran melahirkan seramai 100,000 kanak-kanak huffaz cilik yang bermula tahun lalu.
Mohd. Hanafiah berkata, sebagai lanjutan kepada program pra tahfiz, Kemas akan memperkenalkan Program Efikasi Literasi Tahmidi Ulul Albab atau Pelita@Kemas bagi anak-anak menguasai lebih 20 surah setelah menamatkan pendidikan di peringkat tabika. – KOSMO! ONLINE