BAGI mendapatkan skuad kompetitif menjelang aksi menentang Sri Lanka dan Kejohanan Ragbi Asia (ARC), Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) sedia memperkasakan pasukan 15 sebelah (15s) kebangsaan dengan khidmat pemain naturalisasi.
Presiden KRM, Amir Amri Mohamad berkata, pihaknya sedang menunggu pelepasan pemain-pemain naturalisasi negara yang kini sedang beraksi dalam saingan liga ragbi di sekitar Eropah.
Ujarnya, khidmat mereka cukup penting kerana dianggap mampu menjadi tunjang buat skuad kebangsaan selain memberi lebih variasi dalam pemilihan taktikal untuk setiap perlawanan.
“KRM akan melakukan persiapan rapi termasuk sesi latihan untuk skuad 15s selain meletakkan harapan pemain-pemain naturalisasi mendapat pelepasan daripada kelab masing-masing.
“Kehadiran mereka bukan sahaja menambah kualiti permainan pasukan, malah turut memberikan lebih pilihan dari segi taktikal. Sebahagian besar pemain naturalisasi beraksi di liga Perancis, Romania dan Georgia,” katanya.
Sentuhan pemain-pemain naturalisasi amat ditagih bagi memastikan Malaysia terus berada dalam saingan ARC Divisyen Premier menjelang playoff menentang Sri Lanka selaku juara Divisyen Satu.
Misi itu pastinya bukan cabaran mudah buat pengendali baharu 15s negara, Mohd. Saizul Hafifi Md. Noor yang dilantik mengisi kekosongan ditinggalkan Mohd. Farid Syazwan Abu Bakar.
“Kami perlu memulakan latihan seperti yang dirancang kerana masa sudah semakin suntuk, iaitu berbaki lebih kurang empat bulan sebelum kejohanan sebenar. Sebab itu pemain naturalisasi akan memainkan peranan penting nanti,” ujar Amir Amri.