SEMENYIH – Ramai ibu bapa menghantar anak mengikuti tuisyen bukan bermakna sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah tidak mencukupi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sebaliknya berkata, ibu bapa menghantar anak mengikuti tuisyen sebagai satu bentuk sokongan dan latihan tambahan.
“Tiada masalah pergi tuisyen. Setakat ini, apa yang kita ada di sekolah adalah mengikut kokurikulum, panduan dan pedoman yang sudah pun terkandung dalam kokurikulum kebangsaan.
“Jadi untuk (PdP) di sekolah cukup. Hendak tambahan pergi tuisyen tiada masalah. Itu pilihan ibu bapa,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan beliau dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih yang baru beroperasi hari ini.
Sementara itu, Fadhlina berkata, seramai 8,076 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak hadir bagi semua kertas peperiksaan bertulis sehingga 6 Februari 2025 menunjukkan keberkesanan intervensi yang dilaksanakan oleh KPM.
Menurut beliau, sebelum ini seramai 10,000 calon tidak hadir bagi semua kertas peperiksaan bertulis dan jumlahnya telah menurun kepada 8,076 dengan 6,231 daripadanya merupakan pelajar sekolah di bawah KPM.
“Jadi maknanya intervensi kita berjaya. dalam memastikan kehadian mereka ke sekolah dan SPM. Sebagai contoh semasa banjir, pemindahan pelajar dilaksanakan memastikan 97 peratus kehadiran SPM.
“Program ziarah cakna, bersama komuniti, pengesan keciciran dari Tingkatan 3 dan 4 memberi impak besar kepada kehadiran SPM. Kita harap tahun ini lebih baik dengan intevensi lebih ketat dan dasar pendidikan wajib,” katanya.
Justeru, Fadhlina berharap Rang undang-undang (RUU) untuk meminda Akta Pendidikan 1996 bagi mewajibkan pendidikan sehingga peringkat menengah dapat dibentangkan dalam sesi Dewan Rakyat kali ini.
“Sesi libat urus masih diteruskan dari semasa ke semasa untuk pastikan semua pihak bersama dengan kita menyokong pindaan akta ini. Harapan kita sesi kali ini. Kalau tidak sesi ini, sesi parlimen akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE