fbpx

Kelas kabin, sekolah dua sesi tangani isu sekolah padat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina beramah mesra dengan murid SK Taman Pelangi Semenyih yang baru beroperasi hari ini.

SEMENYIH – Pembinaan kelas kabin pasang siap dan operasi sekolah secara dua sesi antara pendekatan jangka masa pendek Kementerian Pendidikan (KPM) bagi mengatasi isu sekolah padat.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, bagi negeri Selangor sahaja terdapat 95 buah sekolah terlibat dalam penggunaan kelas kabin melibatkan sebanyak 301 bilik darjah bernilai RM69 juta.

“Ia kabin jenis Sistem Binaan Berindustri (IBS), bukan kabin biasa. Jangan bayangkan kabin (digunakan oleh) kontraktor. Kita ubah suai untuk ia jadi kondusif sebagai sebuah kelas.

“Kita juga ada buat penyuraian sekolah. Ini memerlukan komitmen ibu bapa juga. Yang lain melibatkan sekolah dua sesi,” katanya pada sidang media sempena lawatan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pelangi Semenyih yang baru beroperasi hari ini.

Sementara itu, Fadhlina berkata, KPM mengambil serius isu sekolah baharu gagal dibina mengikut tempoh masa ditetapkan seperti pembinaan SK Taman Pelangi Semenyih yang bermula pada tahun 2018.

Menurut beliau, lebih membimbangkan KPM jika pembinaan sekolah baharu diisytihar sebagai projek sakit kerana keadaan itu akan memberi kesan kepada aspek pendidikan.

Justeru, katanya, pemantauan ketat dibuat di peringkat KPM, malah banyak intervensi telah dilaksanakan dalam memastikan disiplin kerja pembinaan sekolah dipantau.

“Komitmen Kerajaan Madani cukup besar apabila melihat projek sebelum ini banyak tidak dapat disiapkan. Kita ambil alih dengan komitmen baharu dan juga pendekatan baharu.

“Kita akan tunaikan komitmen ini dengan memastikan semua agensi terlibat dalam pembinaan sekolah memberi komitmen sepenuhnya,” katanya.

Kata beliau, antara contoh isu dikenal pasti dalam kelewatan pembinaan sekolah adalah kompetensi kontraktor dan KPM memiliki beberapa keadah untuk mengatasi keadaan itu sekiranya berlaku. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI