TIMBALAN Presiden II Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Dr. Jahaberdeen Mohamed Yunoos masih berteka-teki sama ada mahu merebut jawatan presiden badan induk itu ataupun tidak.
Sebaliknya, beliau yang juga Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan disandangnya ketika ini pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) BAM dijangka berlangsung April depan.
Jahaberdeen berkata, buat masa ini beliau hanya mahu memberikan sepenuh fokus terhadap langkah kerja untuk pembangunan sukan badminton berbanding memikirkan mengenai perebutan kerusi No. 1 BAM.
“Secara peribadi, saya rasa biar dahulu (perebutan jawatan presiden) kerana kita mahu berikan sepenuh fokus dalam tempoh dua bulan ini dalam usaha untuk meningkatkan lagi kualiti dan mutu kerja di BAM.
“Jika anda tanya saya sekarang, saya lebih berminat untuk bekerja demi badminton berbanding sama ada bertanding pada pemilihan ataupun tidak. Bagaimanapun, saya berhasrat untuk mempertandingkan jawatan (timbalan presiden),” katanya.
Setakat ini, hanya Naib Presiden BAM yang juga Presiden Persatuan Badminton Putrajaya, Datuk Seri Khairudin Samad menyatakan minat untuk merebut jawatan presiden BAM yang dipangku Datuk V. Subramaniam.
Sebagai rekod, kerusi No. 1 badan induk itu kosong dan dipangku Subramaniam selepas penyandang terdahulu, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengambil keputusan melepaskan jawatan tersebut pada Ogos tahun lepas.
Sementara itu, Jahaberdeen turut menyuarakan harapan supaya mana-mana individu yang berminat merebut jawatan Presiden BAM perlu menitikberatkan aspek pembangunan akar umbi serta ekosistem badminton tanah air.