fbpx

IPCC buka lapan kertas siasatan libatkan polis, empat selesai – Saifuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak lapan kertas siasatan dibuka dengan empat daripadanya berjaya diselesaikan oleh Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) sejak ia mula beroperasi pada 1 Julai 2023.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, menerusi Akta IPCC, ada aduan yang diterima boleh disiasat suruhanjaya bebas tersebut, selain boleh mencadangkan dari segi hukuman.

“Ada aduan yang IPCC terima, tapi kena salur kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebab ada elemen rasuah. Ada juga kalau IPCC terima aduan melibatkan jenayah berat, kena salur kepada polis sebab polis ada Jabatan Siasatan Jenayah.

“Kalau melibatkan isu lain, Perkara 96, 97 dalam IPCC, boleh bagi kepada Jabatan Integriti,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung pencapaian IPCC sejak penubuhannya selain fungsi IPCC, Police, Friends and Collaborators (IPFC).

Saifuddin berkata, sejak IPCC ditubuhkan, banyak program dan aktiviti telah dijalankan termasuk sesi libat urus yang agresif melibatkan semua kepimpinan dan formasi polis.

“Ibu Pejabat Polis Kontinjen, Ibu Pejabat Polis Daerah, balai polis, pondok polis dan semua ‘level’ kepimpinan sampailah kepada formasi. Dia nak tengok aspek keperluan dan kebajikan anggota polis.

“Dari aspek tatakelola, pengurusan kontrak, sumber, inventori, logistik kewangan, beban kerja dan dari situ, suruhanjaya ini akan mengangkat syor,” katanya.

Beliau berkata, IPCC telah berjaya membangunkan Sistem Pengurusan Aduan dan Siasatan (SPEACS) yang dijangka dilancarkan pada bulan depan sekiranya tiada halangan.

“Ia akan menggantikan sistem aduan cara sekarang iaitu emel, datang sendiri, hantar surat. Itu tidak ada lagi.

“Dia boleh terus melaporkan menggunakan sistem ini. Bila sistem ini nanti sudah mula beroperasi, kita akan dapat susuli misalnya kalau kita nak hasilkan laporan tahunan terperinci.

“Perincian statistik aduan yang diterima, diselesai, yang masih lagi ‘pending’, kita boleh buat. Kita juga boleh bagi secara ‘real time’,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI