JAKARTA – Seorang lelaki dikecam orang ramai kerana berpaut pada pintu gerabak kereta api selepas terlambat memasuki gerabak tersebut, lapor portal berita Abatanews semalam.
Kejadian berlaku di stesen Cikampek di Sukabumi, wilayah Jawa Barat beberapa hari lalu.
Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dikongsi di platform Instagram memaparkan lelaki itu melompat naik ke bahagian tepi kereta api sebelum berpaut pada palang besi.
Beberapa pengawal keselamatan cuba mengejar penumpang tersebut tetapi gagal kerana kereta api bergerak laju.
Rakaman itu mencatatkan lebih 3.7 juta tontonan dan menimbulkan pelbagai reaksi.
“Dia (lelaki berkenaan) ingat dia James Bond ke?” kata seorang netizen.
“Spiderman sebenar,” kata netizen lain. – AGENSI