CAPE TOWN – Seorang imam yang mengaku dirinya seorang gay mati ditembak dalam serangan hendap ke atas kereta dinaikinya di Afrika Selatan, lapor akhbar Metro UK semalam.
Muhsin Hendricks, 57, dibunuh pagi Sabtu lalu selepas kereta dinaikinya diserang dekat bandar Gqeberha.
“Dua suspek tidak dikenali dengan muka ditutup keluar daripada sebuah kereta dan melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan dinaiki mangsa.
“Mereka melarikan diri sebelum pemandu menyedari bahawa Hendricks yang berada di tempat duduk belakang telah terbunuh,” kata polis Eastern Cape.
Rakaman video di media sosial menunjukkan seorang penyerang meluru keluar daripada sebuah kereta, berlari ke arah kenderaan yang diserang hendap dan menembak beberapa kali ke arah tingkap penumpang belakang.
“Motif pembunuhan belum diketahui,” kata polis sambil menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil membantu siasatan.
Hendricks yang terlibat dalam pelbagai kumpulan advokasi lesbian, gay, biseksual, transgender dan pelik (LGBTQ), mengaku dirinya gay pada tahun 1996.
Dia menguruskan masjid Al-Ghurbaah di Wynberg dekat tempat kelahirannya, Cape Town. – AGENSI