KLANG – Hilang kawalan ketika memotong kenderaan dipercayai punca kemalangan melibatkan sebuah kereta yang terbakar selepas bertembung dengan trak polis di Jalan Bukit Cerakah di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 6.30 pagi tersebut mengakibatkan mangsa seorang lelaki berusia 56 tahun patah kaki kiri.
Tiga termasuk pemandu trak polis tersebut hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, ketika kejadian pemandu kereta itu dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Kota Damansara dari rumahnya di Puncak Alam.
Katanya, hasil siasatan awam mendapati kereta tersebut cuba memotong kenderaan lain di hadapan sebelum hilang kawalan.
“Kereta itu kemudiannya memasuki laluan bertentangan dan melanggar trak polis yang menyebabkan kerosakan di bahagian hadapan dan terbakar.
“Kesemua anggota termasuk pemandu trak polis kemudiannya telah mengeluarkan pemandu kereta tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, semasa kejadian trak polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat dalam perjalanan ke Pusat Koreksional, Puncak Alam bagi mengambil Orang Kena Tahan (OKT).
Kedua-dua pemandu telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang untuk rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor V. Kumarendran di talian 017-5253136.
atua mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan tindakan pantas anggota polis berjaya menyelamatkan seorang lelaki daripada rentung selepas kenderaannya terbakar setelah bertembung dengan trak polis di Jalan Bukit Cerakah, Kapar di sini. – KOSMO! ONLINE