PETALING JAYA – Sejak sesi persekolahan 2025/2026 dibuka bermula semalam, satu fenomena unik dikongsikan pengguna media sosial apabila kelihatan ramai golongan bapa menghantar dan mengambil anak-anak di sekolah yang sebelum ini kebiasaannya dilakukan oleh kaum ibu.
Tinjauan Kosmo! di media sosial mendapati, netizen mula berseloroh mengatakan ramai bapa kini lebih bersemangat menghantar anak-anak mereka ke sekolah, bukan sekadar untuk memastikan cahaya mata itu selamat, tetapi juga disebabkan kehadiran guru-guru muda dan cantik.
Seorang pengguna Facebook, Asyikin Idris memuat naik hantaran berseloroh mengenai suaminya yang tiba-tiba menawarkan diri untuk menghantar anak ke sekolah pagi tadi.
“Dulu suruh hantar anak ke sekolah liat betul. Pagi tadi semangat bangun awal, siap pilih baju elok-elok. Harap tiada agenda lain hantar, ambil anak sekolah,” katanya.
Perkongsian wanita itu turut mendapat perhatian beberapa pengguna lain sehingga ada yang mula berasa curiga apabila secara tiba-tiba si suami menawarkan diri untuk menghantar serta menjemput anak-abak pulang dari sekolah.
“Nampaknya kena ikut sekali setiap kali suami hantar anak. Mencegah lebih baik daripada terlambat,” kata Rosee.
Sementara itu, ada juga bapa yang berkongsikan pengalaman ketika kali pertama menghantar anak mereka ke sekolah sempena sesi persekolahan 2025/2026.
“Memang guru sekarang semua cantik-cantik, muda-muda. Beza betul zaman kita belajar dahulu. Tadi masa hantar anak, nampak cikgu macam sebaya anak sahaja.
“Rasanya selepas ini, boleh jadi kerja tetap ambil, hantar anak ke sekolah. Sayang isteri, bagi isteri rehat di rumah,” kongsinya.
Sesi persekolahan 2025/2026 melibatkan hampir lima juta murid dan pelajar daripada Kumpulan B di semua sekolah di 11 negeri hari ini berjalan dengan lancar dan teratur.
Semalam, sesi sama telah dimulakan awal di Kedah, Terengganu dan Kelantan melibatkan 632,268 pelajar daripada Kumpulan A. – KOSMO! ONLINE